Setiap kali pulang ke rumah, suamiku pasti membawa sekali
buah tangan bersamanya. Kadang-kadang, dia membawa pulang roti.
Kadang-kadang pisang goreng. Dan kadang-kadang buah cempedak. Senang
cerita, memang tak miss lah hari-hari dia bersama buah tangan untuk
kami.
Dan, setiap kali pulang juga, dia pasti meminta aku menghidangkan nasi untuknya. Lapar katanya...
Suatu hari, sedang dia berselera menghadap hidangan, ringan mulut aku ingin bertanya sesuatu kepadanya...
''Hmm... Abang. Saya nak tanya something kat Abang ni...''
''Ya sayang... Apa dia? Tanyalah... '' jawab dia dengan mulut dipenuhi nasi dan ulam.
''Tengahari, Abang memang tak makan kat ofis ke...?? '' soalku lembut.
''Ermm tak. Kenapa sayang??? '' pendek dan ringkas jawapan dia.
''Takdelah. Saya tengok abang hari-hari minta saya masak.
Kalau boleh, saya nak juga berehat sehari dua. Kalau abang dah makan,
untuk makan malam bolehlah saya masak ringan-ringan. Penatlah bang...
''Dengan si kenit ni yang tak duduk diam, rumah yang
bersepah, kain baju berbakul-bakul yang nak kena basuh, jemur dan
lipat... saya kadang-kadang stress...''
Satu-satu aku susun perkataan ini agar dia tidak terasa.
Ustaz pun ada cakap, tugas memasak tu bukan tugas isteri tapi adalah
tugas suami. Jadi, tak salah rasanya aku meluahkan perasaan. Lagi pun,
aku minta tak masak je. Tugas-tugas lain aku buat. Harap sangat dia
faham.
Dia memberhentikan kunyahannya. Lantas, saki-baki nasi yang
masih tersisa, ditelannya terus. Kali ini, dia fokus dan tepat
memandang mataku. Sebelum dia berbicara, secangkir senyuman dia
hadiahkan untukku. Manis...
''Sayang, abang minta maaf kerana menyusahkan sayang. Abang
tak tahu sayang penat. Kalau abang tahu, abang takkan minta sayang
masak...''
Dia berhenti seketika mengambil nafas lalu menyambungnya kembali...
''Hmm... Ada 3 perkara yang abang rasa sayang perlu tahu kenapa abang tak makan tengahari...''
3 perkara? Apakah ia? Dalam debaran aku menanti dia memberitahu 'rahsia' tersebut.
''Pertamanya ialah kerana... Abang rindu nak makan masakan
dari hasil air tangan isteri abang. Masakan sayang sedap. Tiada kedai
yang mampu menyaingi kesedapan masakan sayang... ''
Allah... aku tersentap. Begitu mulianya hatimu wahai suami.
Bersalah pulak aku rasa... dek kerana menyuarakan perasaan penat yang
tak seberapa tadi. Belum sempat aku meminta maaf, dia menyambung lagi...
''Kedua... kalau abang makan tengahari, kenyang itu akan
sampai ke malam. Jadi, bila pulang ke rumah, abang mungkin takkan makan
lagi. Untuk tidak mengecewakan sayang, abang sanggup berlapar pada
tengahari untuk makan masakan isteri tercinta abang ni...''
Saat itu, aku dah hampir tewas. Tewas dengan air mata yang
ingin berlumba-lumba keluar dari bingkisan kelopak ini. Namun aku cuba
menahannya sehingga perkara ketiga diberitahu suami...
''Dan ketiga ialah kerana abang tak ada duit. Duit makan
tengahari abang, abang simpan. Abang simpan untuk belikan sayang dan Una
'hadiah' ketika mana abang pulang di waktu petang...''
Kala itu aku terus menerpa ke arah suamiku. Tangannya yang
masih basah dengan kuah aku capai lantas ku cium memohon kemaafan
darinya. Berdosanya aku...
''Takpe... Sayang tak buat salah pun dengan abang. Abang
yang salah kerana menyerahkan tanggungjawab memasak kepada sayang. Besok
In syaa Allah, abang masak sendiri k. Dah... jangan nangis...'' Sebak
suaranya sambil memujuk aku.
Dalam esak tangisan ku itu, aku menggeleng-gelengkan
kepala. Tak sanggup aku mengiyakan permintaannya. Dia yang seharian
penat bekerja dan 'berpuasa' tak sepatutnya aku layan sebegitu rupa. Oh
Allah... Ampuni aku dan rahmatilah suamiku...
Sebagai renungan bersama. Semoga kita sama-sama dapat muhasabah diri.
Untuk para isteri terutama suri rumah sepenuh masa. Ketahuilah bahawa kesemua 4 orang ketua wanita syurga adalah suri rumah sepenuh masa.
0 comments:
Post a Comment